Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MKPM) Kawasan Parlimen (MAYANG)

E-mail Print PDF

Pendahuluan
Masyarakat kerap didedahkan kepada pelbagai masalah sosial dalam kehidupan harian yang melibatkan semua lapisan masyarakat. Masalah-masalah sosial seperti kes penderaan, lari dari rumah, penagihan dadah, sumbang mahram, keganasan rumahtangga, pelakuan devian di kalangan remaja, pelacuran, perceraian dan sebagainya. Setiap permasalahan sosial yang berlaku akan memberikan kesan negatif serta menjejaskan bebanan kos sosial yang tinggi, Justeru itu, adalah wajar supaya masalah-masalah sosial dan isu-isu yang berkaitan dengannya dapat ditangani dengan lebih berkesan di peringkat akar umbi.

Penubuhan MKPM @ MAYANG

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyedari hakikat tersebut dan telah mengambil inisiatif menubuhkan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MKPM) kawasan Parlimen di seluruh Negara. Penubuhan MAYANG telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 13 Julai 2005 dan telah ditubuhkan di semua 219 kawasan Parlimen di seluruh negara. Majlis pelancaran MAYANG telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada 29 Oktober 2005 di Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas.

Objektif

MAYANG ditubuhkan sebagai usaha Kerajaan untuk menggemblengkan semua pihak di peringkat akar umbi khususnya masyarakat setempat (reaching out to the community) dalam usaha menangani isu-isu berkaitan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat. Penubuhan MAYANG ini akan mempertingkatkan lagi jaringan kerja (networking) sektor-sektor yang bertanggungjawab dalam urusan kerja-kerja kemasyarakatan termasuk Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan orang perseorangan selaras dengan konsep “Kebajikan Tanggungjawab Bersama”. Melalui MAYANG semua program dan aktiviti di peringkat akar umbi dapat digerakkan secara bersepadu bagi menangani isu-isu berkaitan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat di peringkat yang lebih awal.

Fungsi :

  • Memberi nasihat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan dan pembangunan masyarakat
  • Membantu dalam mengenalpasti isu dan masalah kebajikan dan pembangunan masyarakat di peringkat kawasan Parlimen dan mencadangkan tindakan penyelesaiannya
  • Memberi nasihat mengenai program-program kebajikan dan pembangunan masyarakat serta program pencegahan, intervensi awal dan pemulihan yang perlu diberikan keutamaan
  • Bertindak sebagai pakar rujuk dalam bidang kebajikan dan pembangunan masyarakat di peringkat kawasan Parlimen
  • Menyelaras, memantau dan menilai pelaksanaan program dan aktiviti mengikut perancangan yang ditetapkan di kawasan Parlimen
  • Membantu menggembleng pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarela kebajikan serta sektor swasta untuk bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bagi menjayakan program dan aktiviti yang telah dikenal pasti.
  • Bertukar dan berkongsi maklumat serta idea antara ahli MAYANG di kawasan Parlimen yang berkenaan dengan kawasan lain.

Keanggotaan

Keanggotaan MAYANG adalah seramai 15 hingga 20 orang yang terdiri daripada pemimpin masyarakat dan pentadbiran tempatan. Setiap MAYANG dipengerusikan oleh Ahli Parlimen kawasan atau pemimpin masyarakat yang bersesuaian dari kawasan Parlimen tersebut. Setiap pelantikan Pengerusi dan keanggotaan lain adalah untuk tempoh satu tahun yang diuruskan seperti berikut:

  • Pengerusi
    Pengerusi dilantik oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat daripada kalangan Ahli Parlimen di kawasan Parlimen masing-masing atau pemimpin masyarakat yang bersesuaian di kawasan Parlimen yang berkenaan.

  • Timbalan Pengerusi
    Timbalan Pengerusi dilantik oleh Pengerusi daripada kalangan pemimpin masyarakat tempatan yang sesuai seperti pemimpin politik, NGO dan sebagainya.

  • Setiausaha
    Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah atau Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat dilantik oleh Pengerusi sebagai Setiausaha MAYANG mengikut kawasan Parlimen masing-masing.

  • Ahli-ahli
    Ahli-ahli MAYANG dilantik oleh Pengerusi masing-masing mengikut kriteria seperti berikut:
    1. Pemimpin masyarakat tempatan seperti ahli politik, ahli NGO dan sebagainya dari kalangan pelbagai kaum dan jantina -  Wakil agensi Kerajaan yang berkaitan dengan pembangunan sosial
    2. Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga kawasan Parlimen yang berkenaan yang berkenaan adalah diwajibkan
    3. Wakil sektor korporat / swasta
    4. Individu-individu yang boleh memberi sumbangan dalam kebajikan dan pembangunan masyarakat
  • Penasihat
    Penasihat MAYANG dilantik oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari kalangan pemimpin masyarakat yang bersesuaian di kawasan Parlimen yang tertentu mengikut keperluan.

 

Program / Aktiviti

MAYANG perlu menjalankan program dan aktiviti yang berkaitan dengan kebajikan dan pembangunan masyarakat mengikut kesesuaian keperluan masyarakat setempat. Beberapa program dan aktiviti yang berkaitan adalah dicadangkan seperti berikut:

  • Meneliti dan memahami isu-isu serta masalah kebajikan dan pembangunan masyarakat di sesuatu kawasan Parlimen dengan menyediakan profil “social mapping”. Program dan aktiviti mengambilkira kesesuaian kawasan tersebut.

 

  • Program intervensi sosial seperti perkhidmatan intervensi awal dan sistem rujukan yang komprehensif, kumpulan pembimbing setempat mengikut lokasi yang sesuai di kawasan-kawasan perumahan atau kampung.
  • Program yang berkaitan dengan kebajikan dan pembangunan masyarakat seperti:
    i)  Gotong-royong
    ii) Lawatan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia ke rumah pemohon seperti : warga emas, orang kurang upaya, pesakit kronik,keluarga miskin, ibu tunggal dan lain-lain.
    iii)
    Unit Khidmat Penyayang di bawah pentadbiran Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.
    iv) Menganjurkan sambutan Hari Kanak-Kanak, Hari Warga Emas, Hari Orang Kurang Upaya dan lain-lain sambutan di peringkat komuniti.
  • Program dan aktiviti yang menjurus kepada aspek pencegahan dan pembangunan seperti : - Program motivasi dan kesedaran
    - Bengkel Kemahiran Keibubapaan
    - Kem Peningkatan Jati Diri
    - Program ”Sahabat Ku” di kalangan remaja
    - Program Kesukarelaan
    - Rondaan Kejiranan di kawasan perumahan dan komuniti setempat
    - Program peningkatan kemahiran kepada ahli keluarga bagi tujuan meningkatkan pendapatan keluarga.

Kilasan MAYANG

Penubuhan MAYANG adalah suatu langkah memantapkan jaringan kerja di pelbagai sektor dan disiplin di peringkat akar umbi untuk menangani isu-isu berkaitan kebajikan dan pembangunan masyarakat secara bersepadu dengan lebih berkesan. Usaha ini penting bagi menjamin pencapaian wawasan sebuah negara maju, yang mendukung prinsip pembangunan masyarakat yang seimbang di antara pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial.