Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Rumah Seri Kenangan

E-mail Print PDF


Objektif

Memberi jagaan, rawatan dan perlindungan kepada warga emas yang daif demi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.


Syarat-syarat Kemasukan:

* Warga emas yang berusia 60 tahun ke atas
* Tidak mengidap penyakit berjangkit
* Tidak mempunyai sanak saudara
* Tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap
* Berupaya menjaga diri sendiri
* Permohonan secara sukarela oleh individu berkenaan
* Sanggup mematuhi syarat-syarat kemasukan dan Kaedah-Kaedah Rumah Kebajikan berkaitan.


Undang-Undang Berkaitan:

* Akta Orang Papa 1977
* Kaedah-Kaedah Pengurusan Rumah Orang Tua 1983


Cara Kemasukan

Semua permohonan kemasukan warga tua hendaklah melalui Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah dengan menggunakan borang yang disediakan dan dihantar kepada Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri untuk semakan, ulasan dan sokongan. Selepas itu borang-borang permohonan tersebut dikemukakan kepada Ketua Pengarah untuk pertimbangan kelulusan.

Kelulusan kemasukan bergantung kepada kekosongan tempat dan syarat-syarat yang ditetapkan. Permohonan akan dimaklumkan sebaik sahaja ada kekosongan.


Perhidmatan / Kemudahan di RSK

* Jagaan dan Perlindungan
* Rawatan Perubatan
* Bimbingan dan Kaunseling
* Carapulih Kerja
* Carapulih Anggota
* Kemudahan Beribadat
* Riadah


Jagaan dan Perlindungan

Perkhidmatan ini menyediakan keperluan asas yang mencukupi bagi penghuni seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal bagi menjamin keselesaan hidup penghuni dalam suasana yang aman dan tenteram. Hidangan makanan harian adalah berdasarkan kepada skel imbangan makanan yang diperakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Makanan disediakan empat kali sehari mengikut menu yang telah disediakan oleh Pengetua dengan kelulusan daripada Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia.


Rawatan Perubatan

Semua penghuni-penghuni menerima perkhidmatan perubatan yang rapi. Penghuni yang mengidap penyakit ringan diberi rawatan di Institusi oleh Pembantu Hospital yang terlatih. Mereka yang sakit teruk akan dibawa untuk menerima rawatan di hospital berdekatan.


Bimbingan dan Kaunseling

Perkhidmatan ini adalah untuk menolong penghuni-penghuni mengatasi masalah emosi dan psikologi mereka. Penguasa dan Pembantu Pembangunan Masyarakat di Institusi selalu mengadakan kaunseling individu dan kelompok serta perbincangan kes.


Carapulih Kerja

Perkhidmatan ini disediakan bagi tujuan memupuk semangat dan perasaan dikalangan penghuni bahawa mereka masih produktif dan boleh memberi sumbangan kepada masyarakat supaya maruah dan peribadi mereka dapat dikekalkan. Mereka (penghuni) digalakkan membuat kerja-kerja harian seperti menternak, berkebun bagi yang bertenaga membuat bacaan-bacaan kraftangan dan sebagainya. Cara sebegini dapat menghindari mereka dari merasa bosan dan kesepian.


Kemudahan Beribadat

Penghuni-penghuni digalakkan untuk mengamalkan ajaran agama mengikut kepercayaan masing-masing bagi memenuhi keperluan rohaniah serta ketenangan mental dan jiwa mereka. Semua institusi dilengkapi dengan surau dan guru-guru yang berkaitan datang ke institusi untuk memberikan peluang beribadat mengikut agama masing-masing.


Riadah

Penghuni-penghuni digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan kesihatan, kemampuan dan minat mereka. Kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk penghuni-penghuni memenuhi masa lapang mereka dengan menonton televisyen dan video, membaca akhbar dan sebagainya.


Keluaran

Penghuni-penghuni boleh dibebaskan sekiranya:

* ada orang yang bersedia untuk memberinya jagaan dan perlindungan yang sempurna

* penghuni berkenaan mempunyai sesuatu mata pencarian untuk sara hidupnya.


Peranan Masyarakat

Jabatan Kebajikan Masyarakat menggalakkan sanak-saudara dan masyarakat setempat memberi perhatian dan sumbangan kepada pesakit dan sumbangan kepada warga tua yang ditempatkan di institusi.

Aktiviti-aktiviti seperti hari terbuka dan perayaan hari kebesaran diadakan bagi memberi peluang kepada anggota masyarakat melawat dan mengenali penghuni serta berinteraksi dengan mereka.

Pertubuhan sukarela dan pihak swasta juga boleh memberi sumbangan tenaga dan masa untuk bermesra dan meraikan penghuni-penghuni ini supaya mereka tidak merasa tersisih dan kesepian, selaras dengan semangat masyarakat penyayang.


Lembaga Pelawat

Setiap institusi mempunyai Lembaga Pelawat yang dilantik oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi tempoh tiga tahun. Lembaga ini mengandungi tidak kurang daripada tujuh orang ahli dan sekurang-kurangnya dua orang lelaki dan dua orang perempuan. Perlantikan dibuat di bawah Kaedah-kaedah Pengurusan Rumah Orang-Orang Tua 1983. Tanggungjawab utama Lembaga ialah bagi membantu perjalanan pentadbiran dan perkhidmatan di institusi demi kebajikan penghuni. Ahli-ahli Lembaga Pelawat dilantik secara sukarela dari kalangan anggota masyarakat setempat.